TERMINAL BERSEPADU SELATAN – Pengurusan Maju TMAS, operator Terminal Bersepadu Selatan -Bandar Selatan (TBS-BTS) baru-baru ini telah menyampaikan sumbangan daripada rakyat dan juga para pengunjung terminal tersebut kepada pihak pengurusan Rumah Anak Yatim Madrasah Al-Taqwa, Hulu Langat.

Sumbangan berjumlah RM30,000 itu telah disampaikan oleh Encik Norazman Othman, Setiausaha Bahagian Pengurusan Hartanah, Jabatan Perdana Menteri (BPH), kepada Tuan Dr. Idris Musa, Yang Dipertua, Rumah Anak Yatim Madrasah Al-Taqwa, Hulu Langat yang mana turut disaksikan oleh Pengarah Urusan Maju TMAS iaitu Encik Roslan Dato’ Shariff.

Menurut Encik Roslan, sumbangan tersebut adalah hasil kutipan yang diterima daripada penumpang dan juga rakyat yang berkunjung ke TBS-BTS sejak tabung kutipan tersebut dimulakan enam bulan yang lalu. Ini merupakan suatu amanat daripada penumpang dan pengunjung yang prihatin dengan kebajikan anak-anak yatim di negara ini. “Jumlah kutipan yang kita terima adalah sebanyak RM15,000, dan sebagai tanda sokongan dan prihatin serta tanggungjawab sosial terhadap kejadian yang menyayat hati itu, Kumpulan Maju telah berbesar hati menggandakan jumlah tersebut”, tambah Roslan lagi.

Sesungguhnya kejadian tanah runtuh di Ulu Langat pada 21 Mei 2011, yang meragut nyawa 16 orang kanak-kanak masih segar di ingatan kita semua dan kita berharap sumbangan ini dapat sedikit sebanyak membantu pengurusan Rumah Anak Yatim Madrasah Al-Taqwa dalam membina semula bangunan sekolah yang telah musnah, ujar Norazman.

Dr. Idris ketika ditemui sangat terharu dengan sumbangan tersebut menyatakan penghargaan dan terima kasih beliau kepada pihak BPH, Maju TMAS dan Kumpulan Maju di atas keprihatinan mereka terhadap anak-anak yatim dan juga keluarga mangsa tanah runtuh tersebut. “Paling utama, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada semua penumpang dan pengunjung TBS-BTS yang telah bermurah hati dan membantu kami di sini, tambah Dr. Idris.

Roslan Dato’ Shariff
Pengarah Urusan
Maju Terminal Management & Services Sdn Bhd

Share This: