Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH) Jabatan Perdana Menteri ingin merujuk kepada surat kepada pengarang yang disiarkan dalam Utusan Malaysia bertarikh 7 Jun 2011 mengenai “Nak Makan di TBS Pun Susah”.

Merujuk kepada maklumat yang disampaikan oleh pengadu yang mendakwa penggunaan kad Tambah Nilai di Medan Selera Terminal Bersepadu Selatan sebagai tidak mesra pengguna, BPH ingin memaklumkan bahawa penggunaan kad Tambah Nilai di Medan Selera Terminal Bersepadu Selatan adalah sebahagian usaha untuk mengawal harga makanan dan minuman yang dijual oleh peniaga.

Ini adalah untuk memastikan bahawa peniaga-peniaga tidak mengambil kesepatan dengan sewenang-wenangnya menaikkan harga makanan dan minuman ketika waktu puncak seperti cuti musim perayaan mahupun cuti sekolah dan di waktu puncak yang lain.

Kad Tambah Nilai juga membantu pengguna tanpa perlu menyediakan wang kecil jika bayaran mahu dibuat terus kepada peniaga.

Selain itu, kad Tambah Nilai yang dibeli boleh digunakan sepanjang masa dan baki dipulangkan semula sekiranya kad tersebut tidak digunakan lagi. Petugas-petugas yang terlatih ditempatkan di Medan Selera bagi membantu pengunjung-pengunjung untuk membeli kad Tambah Nilai.

Selain itu, perancangan jangka panjang BPH adalah untuk mewujudkan 44 lot niaga tambahan meliputi kiosk-kiosk yang menyediakan kemudahan makanan dan minuman kepada pengguna di TBS. Kiosk-kiosk ini akan dimula beroperasi pada pertengahan Julai 2011 dan boleh menjadi pilihan kepada pelanggan yang mahu berurusan menggunakan wang tunai.

Sekiranya pengadu mempunyai sebarang cadangan atau pandangan berkaitan boleh diemelkan kepada bph_awam@bph.gov.my atau menghubungi talian 03-88800162/88800161. Selain itu, pengadu boleh mengunjungi Kaunter Khidmat Pelanggan, Terminal Bersepadu Selatan untuk sebarang aduan mahupun cadangan mengenai mutu perkhidmatan yang disediakan.

Kenyataan Media ini dikeluarkan oleh Encik Hasnol Zam Zam Ahmad, Setiausaha Bahagian, Bahagian Pengurusan Hartanah, Jabatan Perdana Menteri. Telefon : 03-88800162

Share This: