KUALA LUMPUR: Orenda Kuantum Digital Sdn Bhd (OKD), anak syarikat penuh Maju Holdings sedang meneroka prospek lebih luas dalam pasaran penyelesaian biometrik yang belum diterokai sepenuhnya di negara ini dan pada peringkat global.

Pengarah OKD, Mohd Faiq Abu Sahid, berkata dengan potensi yang ditawarkan dalam sistem kawalan sempadan, syarikat itu akan meninjau pelaksanaan pemindahan teknologi dengan bantuan barisan profesional muda dengan kepakaran teknologi tinggi yang miliki.

“Melihat kepada perkembangan ini, OKD dan syarikat usaha sama teknikal kami dari Korea Selatan, CUBOX Co Ltd, sedang mempertimbang untuk mewujudkan kilang di Malaysia. OKD juga sudah memperuntukkan sebidang tanah yang dimiliki di satu kawasan perindustrian bagi tujuan itu.

“Masa hadapan kita akan membabitkan pemindahan teknologi, penciptaan peluang pekerjaan, perkembangan Revolusi Industri 4.0 dan peluang perniagaan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Kami melihat perancangan OKD ini menjadi kenyataan secara jelas, jadi kami teruja mengenai perkara ini dan juga dengan kesan limpahan positif yang akan wujud daripada usaha kami ini pada masa akan datang,” katanya kepada BH.

Mengulas lanjut, Mohd Faiq berkata, hasil semakan, banyak negara mula memberikan perhatian kepada sistem kawalan sempadan yang lebih canggih.

“Kami dapat melihat pasaran keselamatan sempadan mempunyai potensi yang sangat besar di rantau ini.

“Kami sudah pun mendekati beberapa anggota ASEAN dan negara lain. OKD juga mempunyai pelbagai penyelesaian yang berbeza berdasarkan kemajuan teknologi yang dapat kami tawarkan.

“Ia bukan hanya kawalan sempadan, kami mempunyai penyelesaian untuk sektor termasuk kesihatan dan pertanian.

“Kami tidak akan melakukan semua ini tanpa melihat kepada prospek masa hadapan yang jelas,” katanya.

Mengenai kerjasama dengan CUBOX yang juga syarikat pembangun teknologi, Mohd Faiq berkata, sistem kawalan sempadan yang digunakan di Korea Selatan itu dilihat lebih menyeluruh dari pangkal ke hujung dan menjadi konsep yang sudah terbukti.

Katanya, sistem berkenaan juga menawarkan lebih daripada hanya penyelesaian kawalan sempadan untuk lapangan terbang yang amat bersesuaian dengan Malaysia.

“Sebagai sebuah perniagaan, kami perlu mempertimbangkan semua faktor dan sudah tentu juga peluang dan keperluan masa depan.

“Kami melihat CUBOX dapat memenuhi semua faktor berkenaan,” katanya.

Sistem CUBOX kini sedang diguna pakai di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon yang juga Lapangan Terbang Transit terbaik pada Anugerah Lapangan Terbang Antarabangsa Dunia oleh SKYTRAX pada 2019 dan mendapat kedudukan pertama bagi Airport Service Quality (ASQ) Awards oleh Airports Council International (ACI) selama 12 tahun berturut-turut.

Mohd Faiq berkata, sistem kawalan sempadan yang ditawarkan syarikat itu menggunakan pendekatan holistik yang menyeluruh dan bukan secara ‘patch-on-system’.

“Kami sudah menjelajah banyak negara untuk mendalami selok-belok kawalan sempadan. Kami bekerjasama rapat dengan rakan teknologi, perunding dan pakar dalam bidang ini.

“Sehingga kini, kami sudah melabur jutaan ringgit bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) awal, pengurusan projek dan Solutions Lab kami,” katanya.

Source: https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2020/09/736009/orenda-teroka-prospek-perluas-penyelesaian-biometrik

Share This: