17 Sept 2021
PETALING JAYA – Pusat saringan dan ujian pandu lalu (DTC) yang dibangunkan Maju Healthcare di Langkawi adalah yang pertama disediakan di pulau peranginan tersebut.
Pusat yang lengkap dengan makmal Covid-19 itu berkemampuan melakukan ujian berskala besar sehingga 5,000 ujian setiap hari.
Ia juga mampu mengeluarkan keputusan ujian RT-PCR terpantas dengan keputusan boleh didapati dalam lingkungan satu jam serta rangkaian perkhidmatan yang luas termasuk ujian Antigen RTK (swab/air liur) dan ujian antibodi yang pantas. Timbalan Pengerusi Kumpulan Maju, Mohd. Faiq Abu Sahid berkata, DTC bakal membantu melicinkan lagi program Mysafe Langkawi bagi mewujudkan gelembung perjalanan yang selamat di Langkawi dengan prosedur dan operasi pengurusan wabak tersebut dengan mantap. “Perkhidmatan menyeluruh yang ditawarkan di DTC iaitu dari penyaringan hingga pengujian berserta kemampuan makmal akan menjadi pusat sehenti untuk komuniti di Pulau Langkawi.
“Kami berbangga dapat menerajui inisiatif ini dengan rakan makmal iaitu Gribbles Pathology dan rakan perubatan, Global Doctors untuk bersama-sama memastikan Pulau Langkawi kekal sebagai destinasi pelancongan yang selamat dengan menawarkan perkhidmatan terpantas, kemudahan dan keputusan ujian saringan yang paling tepat,” katanya dalam kenyataan. DTC yang terletak berdekatan dengan Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri itu disasarkan beroperasi pada Oktober ini. https://www.kosmo.com.my/2021/09/17/maju-healthcare-bangunkan-dtc-pertama-di-langkawi/